KUALA LUMPUR: Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas pemimpin Pas merupakan antara 839 penerima darjah kebesaran dan pingat sempena hari jadi rasmi Yang di-Pertuan Agong, hari ini.
Nik Aziz dan Lim dianugerah Panglima Setia Mahkota (PSM), anugerah persekutuan kedua tertinggi yang membawa gelaran “Tan Sri”.
Mereka adalah antara 26 individu yang menerima anugerah itu tahun ini.
Pemimpin lain yang menerima gelaran itu ialah bekas menteri Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Seri Anifah Aman, serta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul.