KUCHING: Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Serian (SFA), Phillip Jabu menegaskan, pihaknya masih menunggu takwin Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sebelum dapat memutus untuk penganjuran Liga Serian 2023.
Menurut Phillip, perlu bagi pihaknya menunggu susun atur program sepanjang tahun badan induk tertinggi itu bagi mengelak berlaku pertembungan masalah kelak.
“Kita masih menunggu takwin pihak FAS terlebih dahulu sebelum dapat merangka program termasuk penganjuran Liga Serian 2023,” ujar Phillip kepada Arena Suara Sarawak.
Bagaimanapun, beliau memberi gambaran awal bahawa penganjuran liga berprestij itu akan berlangsung selepas Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Phillip, pihaknya juga akan mengadakan mesyuarat untuk ketetapan tarikh bagi penganjuran Liga Serian sebaik menerima maklum balas daripada pihak FAS berhubung program sepanjang tahun mereka.