LIMBANG: Seorang pemandu maut selepas lori yang dipandunya jatuh gaung sebelum terbalik di jalan balak berhampiran Jalan Mendamit, Kampung Kuala Mendalam, di sini petang semalam.
Ketika kejadian, lori tersebut sedang dalam perjalanan dari Liang Batu menuju ke kuari Selidong Medamit untuk mengisi muatan batu kelikir.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat operasi sekitar jam 6.30 petang dan dua pacuan empat roda dengan kekuatan sembilan anggota diatur gerak ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang.
“Pasukan mengambil masa dua jam 19 minit untuk tiba di lokasi kerana selain jaraknya lebih 60 kilometer, ia juga terletak di laluan balak.
Setiba di lokasi kata Ling Hii, pasukan melaporkan bahawa insiden itu merupakan kemalangan kendiri dan terdapat seorang mangsa lelaki iaitu pemandu lori yang terlibat.
“Mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai di lokasi kejadian.
“Pihak kita kemudian bertindak membantu membawa mangsa yang telah disahkan meninggal dunia untuk keluar dari gaung dengan menggunakan peralatan stretcher.
Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai George Inau, 44 tahun, berbangsa Lun Bawang.
Mangsa kata Ling Hii, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. – Sarawakvoice