BAU: Berpantang maut sebelum ajal. Seorang penunggang motosikal putus kaki, namun masih selamat selepas terlibat dalam kemalangan secara berhadapan dengan sebuah lori di Kilometer 6.2, Jalan Bau-Kuching pagi tadi.
Menurut Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Deputi Superintendan Bingkok John, kejadian berlaku sekitar jam 10.15 pagi tadi.
“Siasatan awal menunjukkan penunggang motosikal terbabit dalam perjalanan dari Kuching menghala ke Bau.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut telah berlanggar dengan bahagian hadapan sisi kanan sebuah lori yang sedang bergerak lurus dari Bau ke Kuching).
Difahamkan, sebelum impak berlaku, pemandu lori sempat membrek dan membunyikan hon kenderaannya.
Akibat pertembungan itu, mangsa telah mengalami cedera parah termasuk hampir terputus kaki.
Bingkok berkata, mangsa yang dikenal pasti sebagai Fusheng Nyogien, 42 tahun dari Kampung Sibuluh, turut cedera di bahagian kepala dan tangan kanan.
“Mangsa kemudian dikejarkan pasukan paramedik ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindah Unit Rawatan Rapi, Hospital Umum Sarawak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Sarawakvoice