LAWAS: Seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun meninggal dunia akibat disambar buaya di Sungai Patarikan, Merapok, semalam.
Insiden kira-kira jam 7.30 malam itu berlaku ketika mangsa dikenali sebagai Yambunan Yading, bersama dua lagi individu pergi memancing di tempat kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, insiden mangsa disambar buaya dan terus dibawa ke dalam sungai disaksikan sendiri oleh dua individu iaitu menantu dan birasnya.
Sejurus menerima laporan katanya, operasi khas mencari dan menyelamat (SAR) hari ke-2 digerakkan melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Lawas.
“Mangsa dijumpai dalam keadaan terapung dengan bentuk fizikal sempurna kira-kira jam 9.53 pagi dalam radius 1 KM dari tempat mangsa disambar buaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa seterusnya dibawah ke Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan siasatan lanjut.