KUCHING: Sebanyak 11 bahagian Lebuh Raya Pan Borneo kini siap sepenuhnya dengan status kerja keseluruhan mencapai 94 peratus.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sehingga April kemajuan keseluruhan projek bernilai kira-kira RM16 bilion itu mencapai 94 peratus.
“Seperti direkodkan, 11 daripada 25 bahagian siap sepenuhnya berbanding tujuh bahagian yang dilaporkan semasa sidang DUN lalu.
“Empat bahagian tambahan yang baru siap ialah Jalan Kuching-Serian (persimpangan sepanjang lima kilometer), Pantu (41 kilometer), Betong (34 kilometer) dan Bakun (42 kilometer),” katanya.
Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Wilayah itu berkata demikian semasa sesi penggulungan kementeriannya di sini, hari ini.
Sementara baki 13 bahagian jelasnya pada peringkat akhir penyiapan dengan masing-masing menunjukkan kemajuan pembinaan antara 85 hingga 95 peratus.
Bagaimanapun disebabkan isu teknikal tambah Uggah, hanya 34.5 kilometer di bahagian Lambir akan disiapkan menjelang akhir tahun ini, manakala baki 4.5 kilometer akan siap pada 2026.