Lebih separuh abad hulurkan bantuan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
SUMBANGAN... Fatimah Abdullah menyampaikan sumbangan makanan kepada penerima pada Program Bantuan Makanan Tahun Baharu Cina 2023 di Temple Premis of Sarawak Thong Sim Siang Tng, Jalan Gold Jade, semalam

KUCHING: Persatuan Sarawak Thong Sim Siang Tng terus komited membantu golongan yang kurang berkemampuan di negeri ini khususnya pada musim perayaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, persatuan tersebut telah memberikan bantuan makanan bukan sahaja pada Tahun Baharu Cina tetapi juga semasa Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan sebagainya.

Menurutnya, program amal sedemikian telah dilaksanakan sejak 55 tahun dahulu sehingga kini.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa mereka ini bukan sahaja memberikan sumbangan dalam bentuk makanan tetapi juga dalam pendidikan.

“Justeru kita di Sarawak sangat bertuah kerana mempunyai persatuan yang komited memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bantuan Makanan Tahun Baharu Cina 2023 di “Temple Premis” of Sarawak Thong Sim Siang Tng, Jalan Gold Jade, dekat sini, semalam Program tersebut semalam menyaksikan 80 penerima menerima sumbangan berupa makanan keperluan asas termasuk beras 10 kilogram daripada persatuan tersebut.

Selain menyempurnakan penyampaian sumbangan, Fatimah semalam turut merasmikan stor baharu di tokong berkenaan.

Sehubungan itu, Fatimah memaklumkan yang menarik adalah persatuan tersebut turut memberikan sumbangan dengan menghantar ke rumah penerima yang tidak hadir pada program tersebut.

“Kita beruntung kerana selain kerajaan yang membantu rakyat kurang berkemampuan, Sarawak mempunyai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersedia melaksanakan tanggungjawab membantu masyarakat.

“Kerjasama ini sangat baik kerana dapat membantu mereka yang terlepas daripada bantuan kerajaan yang sedia ada sekali gus sebagai sistem sokongan di negeri ini.

“Jadi, saya berharap agar kerjasama sedemikian dapat diteruskan sehingga masa akan datang supaya nasib rakyat yang kurang berkemampuan di negeri ini terbela,” tegasnya.

Setiausaha Tetap KPWK Noriah Ahmad, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Adana Jed, Pengerusi Sarawak Thong Sim Siang Tng Ng Kok Yean dan Pengerusi SUPP Batu Lintang Sih Hua Tong turut hadir

Berkaitan