KUCHING: Lapan pemandu kenderaan perdagangan akan dihadapkan ke Mahkamah kerana kesalahan membawa lebih had muatan yang ditetapkan.
Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, pihaknya turut mengeluarkan notis ketidakakuran terhadap pemandu terbabit menerusi Ops Kenderaan Perdagangan di Jalan Keruing, di sini semalam.
“Sebagai info, untuk kes ini, pemandu akan didakwa di bawah Seksyen 19(1) Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan akan dihadapkan ke Mahkamah dalam tempoh terdekat,” katanya dalam satu kenyataan Facebook, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut mengeluarkan 23 notis ketidakakuran terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
Jelasnya, antara notis ketidakpatuhan jalan raya yang di kesan semasa operasi ini adalah seperti tiada lesen memandu,tiada Lesen GDL dan tiada cukai jalan.
Sehubungan itu, JPJ Sarawak memberi peringatan kepada pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memastikan kenderaan yang digunakan mematuhi undang-undang yang dibenarkan.
“Pihak JPJ akan sentiasa melakukan penguatkuasaan secara berfokus dalam memastikan pengguna patuh kepada peraturan dan undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Untuk sebarang aduan trafik bolehlah disalurkan terus melalui aplikasi e-Aduan @jpj atau http://jpj.spab.gov.my beserta butiran pengadu dan butiran aduan.
