BINTANGOR: Pembinaan lebih banyak prasarana sukan di daerah ini adalah salah satu inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat khususnya generasi muda.
Adun Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, usaha penting itu termasuk dalam pelan jangka panjang selain berhasrat untuk mewujudkan pembangunan seimbang. Menurutnya, kerajaan yakin pelaksanaan lebih banyak prasarana sukan mampu memberi impak positif kepada rakyat.
“Bintangor memerlukan kemudahan sukan bertaraf moden bagi melahirkan lebih ramai atlet yang berbakat untuk diketengahkan di peringkat negeri mahupun kebangsaan. “Dalam perkembangan berkaitan, Kerajaan Sarawak turut meluluskan sebanyak RM8.5 juta bagi menyediakan infrastruktur untuk kolam renang Bintangor di bawah projek rakyat,” katanya pada Majlis Perasmian Pertandingan Futsal di sini, semalam.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak melaksanakan pendekatan sistematik dalam merealisasikan agenda pembangunannya supaya dapat memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat.
Sehubungan itu, Kuong Hiing berharap sokongan dan kerjasama padu semua pihak supaya projek yang dilaksanakan berjalan lancar. “Seperti kita sedia maklum bahawa pendekatan inklusif melalui kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi impak besar khususnya dalam aspek pembangunan termasuk di kawasan Dun Meradong,” tambahnya.