KUCHING: Kuching City FC (KC FC) terpaksa akur dengan kekuatan Selangor FC selepas mengalami kekalahan 5-0 dalam aksi di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam semalam.
Selangor dibarisi pemain-pemain berpengalaman termasuk dua pemain kebangsaan iaitu kapten pasukan, Brendan Gan dan Faizal Halim bagi menguatkan barisan kesebelasan utama menentang tuan rumah.
Pasukan kendalian Tan Cheng Hoe Gol membuka jaringan pertama hasil tolakan mudah Noor Al-Deen Mahmoud Ali Al Rawabdeh minit ke-4 selepas menerima hantaran daripada Ayron Rodriguez dari bahagian sisi kiri gawang.
Percubaan Kuching City untuk menyamakan kedudukan gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan selepas rembatan kencang kapten pasukan, Adam Shreen minit ke-5 terkena tiang gol sebelah kiri lawan.
Ayron sekali lagi menjadi pemusnah gawang tuan rumah dengan menjaringkan gol kedua minit ke-9 selang lima minit jaringan pertama dilakukan.
Selangor nyaris menambah jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh pemain kebangsaan, Faisal Halim minit ke-19 namun percubaannya berjaya digagalkan oleh Norazlan Razali yang bertindak menepis keluar bola terbabit.
Kuching bertindak melakukan pertukaran pertama pemain dalam perlawanan minit ke-31 dengan memasukkan pemain tengah, Hidhir Idris bagi menggantikan Amirul Shafik Che Soh.
Mahmoud Ali menambah derita tuan rumah selepas sekali lagi berjaya meledak jaringan minit ke-48 berpunca daripada kesilapan pertahanan hilang bola di bahagian tengah padang.
Usaha Kuching City mencari gol tunggal sebaliknya terkandas apabila bekas pemain kebangsaan dan juga kapten pasukan, Brendan Gan menambga jaringan keempat minit ke-65.
Gol kelima Selangor dijaringkan oleh pemain gantian, Ahmad Danial Ahmad Asri minit ke-73 sekali gus menjadi gol terakhir perlawanan sebelum masa kedua perlawanan ditamatkan.