Kreatif hasilkan makanan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Sarawak perlu mempertahankan keunikan makanan yang menggunakan bahan asli dari negeri ini untuk mengekalkan pengiktirafan Kuching sebagai bandar raya gastronomi.

Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, sehubungan itu, masyarakat perlu melibatkan diri dan menjadi kreatif dalam penyediaan makanan.

Menurutnya, negeri ini mempunyai lebih daripada 20 kumpulan etnik dan jika setiap kumpulan mampu menghasilkan 10 jenis makanan di rumah maka terdapat lebih 200 jenis makanan akan dihasilkan.

“Saya percaya setiap makanan yang dihasilkan mempunyai keunikan tersendiri, selain daripada persembahan dan rasa ia juga sering dikaitkan dengan budaya.

“Sarawak mempunyai pelbagai bahan atau ramuan tersendiri (dari Sarawak) yang boleh digunakan untuk menghasilkan makanan unik seperti gula apong yang digunakan untuk ais krim – di sinilah kreativiti diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Kembara Kulinari Borneo-Sarawak di GSC, CityOne Megamall dekat sini kelmarin.

Tambahnya, ia juga sebagai usaha untuk mengekalkan pengiktirafan Kuching sebagai bandar raya gastronomi bagi tempoh lima tahun akan datang.

“Kita sebenarnya boleh meneroka lebih banyak dan menjadi lebih kreatif dalam menggunakan bahan-bahan dari Sarawak sekali gus mempunyai menu sendiri.

“Tidak kira bangsa dan agama, perkara ini adalah apa yang patut kita banggakan sebagai rakyat Sarawak,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memberitahu, disebabkan kepelbagaian dan keunikan itu juga Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) berusaha keras untuk mengetengahkan makanan Sarawak selain mempromosikan kraf dan muzik tempatan.

“Kita telah melakukan yang terbaik untuk meletakkan Sarawak di antara 295 bandar dari 90 negara di dunia dalam peta pelancongan yang hanya melibatkan makanan,” jelasnya.

Mengenai Program televisyen Kembara Kulinari Borneo Sarawak ia akan disiarkan pada 7 Ogos tahun ini setiap Ahad, jam 10 malam di saluran Astro AEC.

Berkaitan