KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor lelaki berusia 63 tahun kerugian RM571,000 selepas terpedaya dengan tawaran gelaran “Datuk Seri” oleh individu yang menyamar sebagai Datuk Pengelola Bijaya Istana Pahang, sejak Februari lalu.
Menurut Ketua Polis Pahang Yahaya Othman, berdasarkan laporan, mangsa dihubungi suspek yang mendakwa mempunyai kuota untuk anugerah kebesaran negeri kepada mangsa.
“Suspek mendakwa mempunyai enam kuota anugerah kebesaran terbabit.
Mangsa dimaklumkan hanya perlu buat sumbangan program istana tanpa apa-apa bayaran.
Mangsa berminat dan turut mempelawa empat kenalannya untuk mendapatkan gelaran berkenaan.
“Bermula Februari lalu hingga bulan ini, suspek meminta mangsa memberi sumbangan untuk beberapa program yang kononnya dibuat pihak istana.
Mangsa menyalurkan RM571,000 melalui 32 transaksi ke lima akaun bank berbeza.
“Sumber kewangan mangsa hasil kutipan dan wang simpanannya bersama rakan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya menurut Bernama.