SARATOK: Komitmen semua penduduk amat ditagih bagi memastikan Skim Rondaan Sukarela (SRS) yang digerakkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di sesuatu kawasan dapat dilaksanakan secara konsisten.
Adun Kalaka Mohamad Duri berkata, ia penting bagi membantu mengurangkan kadar jenayah.
“Bagaimanapun, tugas secara sukarela ini biasanya sangat mencabar.
Apa tidaknya, bukan semua pihak dapat menyertai aktiviti kawalan dan rondaan yang disusun atur.
“Bagaimanapun, kita faham mungkin kekangan kerja atau urusan harian yang tidak dapat dielakkan.
Sungguhpun demikian, jika ada kelapangan turunlah.
“Saya memuji kesanggupan mereka yang dapat meluangkan masa mengikuti aktiviti kawalan dan rondaan, yang secara tidak langsung dapat membantu pihak berkuasa menjaga keselamatan dan keamanan di kawasan penempatan masingmasing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa menyertai Program Gerak Rahmah Jom Ronda Perdana SRS Peringkat KRT Kampung Hulu Saratok di sini, malam kelmarin.
Jelasnya, aktiviti ini sepatutnya disokong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau pertubuhan bukan kerajaan lain yang ada.
“Mungkin dengan pelibatan lebih ramai anggota masyarakat, urusan menjaga keselamatan dan keamanan kawasan penempatan dapat lebih menyeluruh.
“Ini termasuk tumpuan memantau aktiviti anak muda atau individu lalok atau sebagainya.
“Mereka pasti berfikir panjang untuk melakukan jenayah, kerana khuatir ditangkap sekiranya terserempak dengan pasukan rondaan keselamatan di kampung.
“Saya berharap aktiviti rondaan keselamatan itu akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan konsisten,” ujarnya.
Turut diadakan pada program tersebut ialah Sesi Dialog Bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok berhubung tatacara rondaan keselamatan di sekitar kawasan tanggungjawab.
