Kongsi hala tuju di Wisma Melanau

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Persatuan Melanau Kuching terus komited dalam usaha untuk membantu komuniti mereka khususnya golongan belia.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata, beliau dimaklumkan bahawa agenda utama persatuan tersebut adalah untuk menyatukan masyarakat Melanau yang bermastautin di sini.

“Selaras dengan agenda kerajaan, mereka juga akan memberikan fokus kepada warga belia terutama mereka yang menuntut di Institut Pengajian Tinggi di sini (Kuching).

“Selain itu, mereka juga ingin menjadikan pusat ini (Wisma Melanau Kuching) sebagai tempat menghimpunkan komuniti Melanau sekali gus berkongsi tentang hala tuju, pelbagai inisiatif kerajaan, bantuan keusahawanan dan sebagainya,” kata beliau.

Adun Semop itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Komuniti anjuran Persatuan Melanau Kuching di Wisma Melanau Kuching.

Sehubungan itu, tambahnya mereka juga mengakui bahawa kebanyakan masyarakat Melanau yang bermastautin di sekitar Kuching ini berasal dari kawasan pedalaman.

“Justeru, dengan adanya persatuan dan wisma ini mereka boleh mengambil peluang untuk berkongsi secara dua hala tentang pandangan, hasrat dan cita-cita mereka berhubung dengan perkara yang sepatutnya dilakukan di luar bandar dan lain-lain berkaitan.

“Kerana secara amnya peluang pekerjaan dan sebagainya banyak di bandar, tetapi ada juga mereka ingin berjasa dan berbakti kepada kawasan pedalaman serta mereka juga ingin tahu apakah yang dirancang oleh kerajaan di kawasan desa (tempat asal mereka).

“Saya berasa Persatuan Melanau Kuching bertuah kerana mempunyai pusat (wisma) seperti ini, saya berharap agar ia dapat digunakan dengan baik untuk memberikan manfaat bukan sahaja kaum Melanau tetapi semua pihak,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan beliau menegaskan bahawa kaum Melanau datang daripada etnik yang kecil (minoriti) di Sarawak tetapi mereka ingin berusaha untuk menjadikan komuniti tersebut aktif dan progresif sekali gus menghasilkan generasi yang terpelajar serta dapat berbakti kepada negeri ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Melanau Kuching Fridah Osman memaklumkan beliau bersyukur kerana dapat mengadakan aktiviti berskala kecil selepas dua tahun dilanda pandemik Covid-19.

“Aktiviti ini walaupun di skala kecil tetapi ia merupakan satu langkah permulaan untuk kita menganjurkan aktiviti yang lebih besar kelak.

“Insya-Allah lebih banyak aktiviti yang akan dijalankan… kami akan melaksanakan amanah ini dengan sebaik-baiknya untuk menghimpunkan semua masyarakat Melanau yang datangnya dari pelbagai daerah di negeri Sarawak,” jelasnya.

Terdahulu, Abdullah yang hadir ke majlis tersebut juga turut menyumbangkan RM10,000 kepada Persatuan Melanau Kuching.

Pada masa yang sama, Persatuan Melanau Kuching juga memberikan sumbangan kepada anak yatim dari Pusat Jagaan Nur Murni dan disampaikan oleh Abdullah semasa majlis tersebut.

 

Berkaitan