KUALA LUMPUR: Polis menarik balik khidmat pengawal peribadi Unit Tindakan Khas (UTK), bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Pakatan Harapan menerusi status di Facebooknya hari ini.
Dr Mahathir memerintah negara selama 22 tahun dan sering terjebak dalam kontroversi termasuk dalam kes urus niaga mata wang asing, Perwaja, dan Operasi Lalang 1987 yang menyaksikan 106 orang dijaring polis.
“Genap setahun yang lalu, Kak Fauziah dan pembantu rumah di pejabat dipindahkan dan ditamatkan kontrak oleh kerajaan,” katanya dalam catatan itu.
“Hari ini, khidmat pengiring Unit Tindakan Khas (UTK) pula ditarik balik. Perjuangan tetap diteruskan,” katanya.
Mei tahun lalu, khidmat pengiring Tun Mahathir juga ditarik balik.
Ketika itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menjelaskan tindakan itu terpaksa diambil selepas Dr Mahathir menyertai perhimpunan Bersih, perhimpunan bantah GST.
“Saya telah menarik balik khidmat pengiring trafik untuk Tun Mahathir . Itu adalah atas keputusan saya sebagai ketua polis negara.
Apa guna kita memberi iringan trafik terhadap individu yang melanggar peruntukan undang-undang dan perlembagaan, kita tidak dapat menyokong apa juga perbuatan yang melanggar undang-undang negara,” beliau dipetik sebagai berkata ketika itu. – Sarawakvoice
