KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan yakin dapat meneruskan momentum dalam memperkasakan ekonomi negara.
Dalam masa yang sama meningkatkan penciptaan peluang pekerjaan serta mengurangkan kadar pengangguran pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia berdasarkan strategi yang digariskan Majlis Pekerjaan Negara (NEC) dan komitmen serta perpaduan yang ditunjukkan semua pihak.
Sehubungan itu, tiga komponen utama iaitu penciptaan pekerjaan, program penempatan, latihan dan peningkatan kemahiran serta menangani isu-isu struktural pasaran buruh akan diberikan fokus.
“Tahun ini NEC mengenal pasti 49 inisiatif berkaitan pekerjaan di bawah Belanjawan 2023 untuk dilaksanakan oleh 63 agensi pelaksana dan dipantau secara aktif oleh Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA).
“Di samping itu, 12 daripada 32 fokus inisiatif yang digariskan di bawah Pelan Penciptaan Pekerjaan Nasional akan mula dilaksanakan dalam usaha menangani isu struktural pasaran buruh.
“Selain itu, NEC bersetuju dengan sasaran sebanyak 119,964 penciptaan pekerjaan yang akan direalisasikan melalui pelaburan langsung asing dan domestik bagi tahun 2023.
“Oleh demikian, mesyuarat bersetuju akan kepentingan pewujudan pangkalan data yang menyeluruh bagi sektor pekerjaan dalam membantu NEC merangka strategi dan dasar yang lebih strategik berasaskan data,” katanya.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat NEC Bilangan 1/2023 di Parlimen, hari ini.
Jelasnya, LAKSANA sebagai sekretariat NEC diberi mandat menyelaras dan bekerjasama dengan kementerian serta agensi pelaksana berkaitan untuk memanfaatkan pangkalan data sedia ada yang dibangunkan.
Dalam masa yang sama tambah Ahli Parlimen Petra Jaya itu, LAKSANA akan terus memainkan peranan untuk memantau, menilai dan mencadangkan langkah intervensi yang bersesuaian.
“Ini kerana meskipun kadar pengangguran menurun dengan statistik terkini untuk suku pertama 2023 mencatatkan 3.5 peratus, sebenarnya masih terdapat isu-isu di sektor pekerjaan yang perlu ditangani.
“Ia meliputi pengangguran dalam kalangan belia, ketidaksepadanan penawaran dan permintaan, memastikan kadar upah yang bersesuaian, kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan peningkatan produktiviti.
“Selain itu, kerajaan turut memandang serius kekurangan pekerja dalam sektor tertentu, kesaksamaan peluang pekerjaan, perlindungan sosial bagi pekerja dan isu kebolehpasaran graduan.
“Maka, NEC akan terus memberi penekanan dalam memastikan setiap keputusan majlis dan inisiatif pekerjaan dipantau rapat pelaksanaannya bagi memastikan keberhasilan yang optimum dapat dicapai,” ujarnya.
Pada mesyuarat sama dibentangkan prestasi pencapaian inisiatif-inisiatif kerajaan sepanjang tahun lalu, dinyatakan berbanding sasaran penempatan pekerjaan sebanyak 600,000 yang ditetapkan, 600,984 rakyat Malaysia berjaya mendapat pekerjaan atau menjana pendapatan sendiri.
Daripada segi penciptaan pekerjaan baharu pula, sebanyak 144,376 pekerjaan baharu berjaya direalisasikan melalui pelaburan langsung asing dan domestik yang diterajui bersama oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Ekonomi melalui sembilan agensi penggalakan pelaburan.
Pencapaian ini adalah 104 peratus, iaitu lebih tinggi daripada sasaran 138,342 yang disasarkan.
Kadar penggangguran juga telah menurun kepada 3.6 peratus, yakni lebih rendah daripada sasaran 4.0 peratus pada 2022.
Antara lain mesyuarat dimaklumkan tentang kedudukan pasaran buruh pada suku pertama 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta membincangkan tiga kertas pembentangan iaitu pembentangan Pindaan Akta Kerja 1955 oleh Kementerian Sumber Manusia, pembentangan hasil dapatan Persidangan Kurikulum Kebangsaan 2022 oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan pembentangan Pengenalan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) oleh Kementerian Ekonomi.