LAWAS : Kerajaan sedang melakukan kajian bagi merealisasikan cadangan perkhidmatan kereta api di seluruh Sarawak sebagai pendekatan untuk menambah perkhidmatan logistik kepada rakyat pada masa depan.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kajian secara terperinci itu dilakukan bersama-sama Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengangkutan.
Katanya, inisiatif terbaharu itu bukan sahaja memberi nilai tambah kepada prasarana logistik Sarawak, tetapi juga bakal memberi manfaat besar kepada rakyat dalam tempoh jangka panjang.
“Kemudahan yang bakal disediakan ini juga akan turut dinikmati oleh penduduk Limbang dan Lawas selain bakal disambung ke Kalimantan Indonesia, merangkumi seluruh kepulauan Borneo. Maka, kerjasama antara Indonesia, Malaysia dan juga Brunei Darussalam diperlukan.
“Ini saya serah kepada Kerajaan Persekutuan. Kebetulan pula Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah datang dari bahagian Limbang,” katanya pada Majlis Makan Malam Komuniti bersama Premier Sarawak di Stadium Tertutup Lawas, malam tadi.
Hadir sama Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker Dewan Undangan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.