KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merancang untuk memperkenalkan inisiatif “Insurans Rahmah” bagi memberi kemudahan perlindungan pada kadar lebih berpatutan untuk rakyat.
Menterinya, Salahuddin Ayub berkata, setakat ini, sebuah syarikat insurans memberi respons positif terhadap cadangan itu.
“Yang pertama sekali memberikan respons ialah Etiqa Insurans.
Saya telah meminta pegawai (untuk mengadakan) sesi libat urus, tengok macam mana kita boleh jayakan Insurans Rahmah ini.
“..sama ada insurans (perlindungan) kenderaan, perumahan, hartanah dan seumpama dengannya,” katanya selepas menghadiri Kenduri Menu Rahmah anjuran KPDN di Dewan Serbaguna Bangunan Parlimen.
Mengenai syarikat insurans lain yang berminat dengan inisiatif itu, Salahuddin berkata, beliau yakin lebih banyak syarikat akan turut serta berdasarkan impak “domino effect” yang terbukti selepas inisiatif Menu Rahmah diperkenalkan.
Sementara itu, Salahuddin berkata, kerajaan akan melancarkan Jualan Rahmah untuk Hari Raya di sebuah gedung tekstil Rabu ini.
Beliau berkata, inisiatif seumpama ini menerima sambutan memberangsangkan seperti pasar raya Mydin yang menawarkan baju raya serendah RM30, manakala Jakel menawarkan potongan harga sehingga 50% untuk baju raya.
“Ini semua berita gembira buat rakyat menjelang raya dan saya diberitahu semua hypermarket juga akan terus menjual harga barangan asas dengan Jualan Rahmah,” katanya. – BERNAMA