Kerajaan baharu Thailand: Gabungan parti  tubuh jawatankuasa peralihan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

Gabungan pimpinan Parti Move Forward Thailand menubuhkan jawatankuasa peralihan sebagai persiapan untuk membentuk kerajaan baharu selepas kemenangan dalam pilihan raya pada 14 Mei lalu.

Pemimpin Move Forward dan calon perdana menteri gabungan itu, Pita Limjaroenrat, berkata wakil parti gabungan itu akan bersidang setiap minggu sehingga mereka secara rasmi mengambil alih kuasa.

“Kerja kami berjalan lancar dan kami komited untuk bekerjasama dalam menyelesaikan masalah rakyat sebaik mungkin,” katanya pada semalam.

Dia berkata pembahagian jawatan kabinet akan ditangani kemudian.

Sementara itu, gabungan lapan parti tersebut juga mencapai persetujuan untuk membentuk tujuh kumpulan kerja bagi menangani pelbagai isu termasuk elektrik, diesel dan harga tenaga, kemarau dan El Nino, pindaan perlembagaan, kebimbangan alam sekitar dan pencemaran PM2.5, ekonomi dan PKS serta isu berkaitan dadah.

Kumpulan kerja terbabit akan mengadakan mesyuarat tetap untuk memberikan maklumat terkini kepada jawatankuasa peralihan.

Mengenai kedudukan speaker dewan yang bertelagah secara terbuka dengan Move Forward dan Pheu Thai, Pita berkata ia akan diselesaikan secepat mungkin.

Move Forward memenangi 151 daripada 500 kerusi Dewan Perwakilan Thailand pada 14 Mei lalu, manakala Pheu Thai – yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri dibuang negeri Thaksin Shinawatra – memenangi 141 kerusi.

Kedua-duanya bersetuju untuk membentuk gabungan bersama enam parti – Prachachat, Thai Sang Thai, Pue Thai Rumphlang, Thai Liberal Party, Fair Party dan Plung Sungkom Mai.

Gabungan itu dibentuk dengan 313 daripada 500 kerusi dewan perwakilan rakyat dengan 400 kerusi yang dimemenangi calon kawasan pilihan raya manakala 100 kerusi parti diperuntukkan secara perwakilan berkadar.

Pita memerlukan 64 undi lagi bagi memastikan dia dilantik sebagai perdana menteri. Sejumlah 250 senator yang dipilih oleh kerajaan terdahulu juga akan memutuskan perdana menteri baru.

Suruhanjaya pilihan raya negara itu mempunyai masa sehingga 13 Julai ini untuk mengesahkan secara rasmi keputusan pilihan raya yang membolehkan persidangan pertama parlimen diadakan dan pemilihan perdana menteri. – Bernama

Berkaitan