Kekalkan integriti penjawat awam

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Seri Dr Sim Kui Hian

KUCHING: Penjawat awam digesa terus berpegang teguh kepada integriti dan menerapkan disiplin yang tinggi terutama sekali ketika menjalankan tugas. Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, tedapat banyak aduan berlaku berkaitan penjawat awam yang mengabaikan tanggungjawab terhadap kementerian, agensi atau pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lebih mengutamakan kepentingan peribadi sehingga melanggar undang-undang, peraturan serta garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, beliau percaya perkara tersebut berlaku disebabkan beberapa faktor, pertama salah faham dalam kalangan orang ramai terhadap prosedur perolehan melalui tender dan sebut harga bagi sesuatu projek atau perkhidmatan. “Manakala yang kedua kepentingan peribadi pegawai yang menguruskan projek atau perkhidmatan yang boleh membawa kepada rasuah. “Justeru, penyelesaian kepada isu ini adalah dengan mematuhi integriti dan menerapkan disiplin dalam diri yang seterusnya akan menggambarkan keperibadian yang baik semasa menjalankan tanggungjawab.

“Ia juga termasuk komitmen pengurusan yang ditunjukkan melalui pengisytiharan kepentingan dan kerahsiaan semasa sebarang mesyuarat melibatkan projek atau perkhidmatan dan saya menganggap perkara itu diamalkan semua orang di sini,” katanya ketika berucap sempena perasmian Hari Integriti MPHLG 2023 di Dewan Undangan Negeri, dekat sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau yakin setiap pegawai, agensi dan PBT di bawahnya tidak terlibat dalam kes sedemikian serta telah menjalankan tugas dengan bersungguh- sungguh. “Oleh itu, saya menyeru ketua jabatan supaya dapat memainkan peranan penting dalam memantau tugas pegawai di bawah seliaan mereka bagi memastikan tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan amanah, telus dan akauntabiliti.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga beberapa kali menegaskan dalam ucapannya semua yang terlibat dalam projek kerajaan perlu bekerja secara berintegriti termasuk dalam menguruskan dana dan proses perolehan. “Pemimpin yang mengabaikan tanggungjawabnya akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah Perintah Am 1996,” ujarnya. Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan penjawat awam supaya terus menjaga tingkah laku untuk mengelakkan salah faham berlaku dalam kalangan masyarakat awam.

Majlis tersebut semalam turut menyaksikan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah diketuai Ketua Penolong Setiausaha Kanan I MPHLG Abu Bakar Sepawi. Sementara Setiausaha Tetap Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Antonio Kathi Galis berkata, ikrar tersebut bukan sekadar untuk publisiti semata-mata tetapi akan diperkukuh dengan pelbagai tindakan pengurusan tertinggi kementerian ini. “Ia penting bagi meningkatkan integriti setiap pegawai di kementerian, agensi dan pihak berkuasa tempatan,” jelasnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap MPHLG Elizabeth Loh. Hadir sama Timbalan Menteri MPHLG (Kerajaan Tempatan) Datuk Dr. Penguang Manggil; Timbalan Menteri MPHLG (Kesihatan Awam dan Perumahan) Micheal Tiang Ming Tee serta wakil yang lain.

 

Berkaitan