Kecuaian punca utama kemalangan jalan raya di Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
gambar dan caption:Hakeem

KUCHING: Punca utama peningkatan statistik kemalangan jalan raya di Sarawak adalah kerana kecuaian pengguna jalan raya itu sendiri.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, statistik kemalangan jalan raya di negeri ini menunjukkan peningkatan dengan jumlah 5,938 kes tahun lalu kepada 6,690 kes bagi tempoh empat bulan pertama tahun 2023.

“Ini menunjukan peningkatan sebanyak 752 kes bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun ini.

“Berdasarkan statistik kami, punca utama kemalangan jalan raya adalah kelalaian pengguna itu sendiri ketika menggunakan jalan raya,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Gawai Dayak 2023 di Pusat Beli belah Farley, hari ini.

Tambah beliau, statistik kemalangan jalan raya semasa sambutan Gawai Dayak pada tahun 2022 juga membimbangkan kerana terdapat peningkatan jika dibandingkan dengan tahun 2021.

Jelasnya, jumlah kemalangan dan kematian yang direkodkan semasa perayaan tersebut pada tahun lalu ialah 423 kes dan 18 kematian.

“Ia menunjukan peningkatan ketara sebanyak 221 kes dan 11 kematian jika dibandingkan dengan 202 kes dan tujuh kematian pada tahun 2021,” jelasnya lagi.

Mancha turut memberitahu bahawa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak akan menjalankan ‘Ops Khas’ selama lapan hari bermula 29 Mei hingga 5 Jun ini sempena sambutan perayaan Hari Gawai Dayak.

Selain itu, pihak polis dari cawangan trafik juga akan mengedarkan risalah sebagai peringatan awal kepada masyarakat tentang tanggungjawab sebagai pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu.

Sementara itu, Mancha menjelaskan bahawa usaha cegah jenayah di kawasan perumahan yang giat dilakukan menyebabkan penurunan kes pecah rumah tahun ini dengan mencatatkan 259 kes direkodkan(Januari hingga April) berbanding 300 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Mancha menasihatkan orang ramai supaya mereka yang pulang ke kampung mengambil langkah-langkah keselamatan dengan memaklumkan kepada jiran tentang kepulangan mereka selain mengisi Borang Balik Kampung yang boleh dimuat turun di portal PDRM.

Berkaitan