KDJA harap Hawana 2024 dianjurkan di Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Fahmi bersama-sama timbalannya, Teo Nie Ching semasa mengunjungi gerai pameran media Sarawak di Mini Karnival Hawana 2023 di Ipoh, hari ini.

IPOH: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyambut baik hasrat Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) untuk membawa penganjuran Hari Wartawan Nasional (Hawana) ke Sarawak pada tahun depan.

Ia selepas hasrat itu disuarakan oleh Presiden KDJA Ronnie Teo Teck Wei kepadanya ketika mengunjungi gerai pameran media Sarawak di Mini Karnival Hawana 2023 di sini, hari ini.

“Kita akan bincangkan dengan jawatankuasa penganjur dahulu dan jika ia berjalan lancar, kita akan minta Sarawak untuk membidanya (menganjurkan Hawana 2023,” katanya.

Terdahulu, Ronnie menyatakan kepada Fahmi bahawa KDJA berharap agar Hawana 2024 dapat dianjurkan di Kuching.

“Kuching mempunyai keupayaan dan potensi untuk menjadi tuan rumah bagi acara ini dengan mengambil kira industri mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (Mice).

“Kami juga yakin pengamal media di Kuching sangat menyokong usaha membina hubungan dengan komuniti media lain di seluruh negara,” katanya.

Tahun ini merupakan pertama kali media Sarawak menyertai Hawana yang diadakan di sini bermula semalam sehingga Isnin ini.

Selain Mini Karnival, pelbagai acara lain turut dianjurkan seperti ‘Treasure Hunt’ dari Kuala Lumpur ke Ipoh, pertandingan boling dan sebagainya.

Malah pada malam tadi, seramai 13 orang wakil media Sarawak bersama-sama dari Semenanjung Malaysia dan Sabah turut berpeluang menikmati santapan malam bersama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Hawana kali pertama dianjurkan di Kuala Lumpur pada 218, diikuti Melaka pada tahun lepas dan Perak pada tahun ini.

Acara berkenaan merupakan platform bagi pengamal media di seluruh Malaysia untuk berkumpul dan membincangkan isu-isu yang dihadapi dalam industri berkenaan.

Berkaitan