MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah kapal jenis landing craft yang mencurigakan di perairan Miri. Kapal tersebut berlayar dari perairan Baram menuju ke Miri dikendalikan sembilan kru termasuk tekong dan semua mereka warganegara tempatan berumur 21 hingga 66 tahun.
Menurut Pengarah Zon Maritim Miri, Kapten Maritim Mohd Shafie Paing, bot ronda Maritim Malaysia mengesan kapal yang mencurigakan sekitar jarak lebih kurang enam batu nautika dari barat laut Kuala Baran pada 12 tengah hari, Isnin lalu.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati vesel tersebut disyaki melakukan beberapa kesalahan seperti kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa lebih muatan serta kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana tiada dokumen Surat Control Supplies Act (CSA).
“Kapal yang membawa diesel beranggaran 120,000 liter itu juga disyaki tiada Sijil Petroleum Development Act (PDA) dan membawa minyak diesel melebihi kuantiti yang dibenarkan di dalam Borang C semasa diperiksa. “Kes akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 serta Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi individu perseorangan atau RM2 juta bagi pertubuhan perbadanan dan penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya semalam.
Sehubungan itu, kesemua kru, kapal serta anggaran diesel bernilai lebih kurang RM300,000 ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat. Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.