SIBU: Beberapa orang penjual bunga menjelang Pesta Ching Ming yang menjalankan operasi di tepi jalan semalam diarahkan beredar oleh penguatkuasa Majlis Perbandaran Sibu (MPS). Pengerusi Jawatankuasa Tetap Bahagian Kegunaan Am dan Perkhidmatan Komuniti MPS Kaunselor Donna Petrus Ngelai berkata, para penjual terbabit didapati beroperasi di rizab jalan utama seperti di Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Teng Chin Hua, Jalan Teku, Jalan Quarry, zon perhentian bas.
“Penguatkuasa MPS terus menjalankan tugas yang telah diamanahkan dengan melarang penjual bunga tanpa permit di tempat yang tidak dibenarkan seperti di kawasan tersebut. “Setakat ini, penjualan bunga sempena Pesta Ching Ming hanya dibenarkan di Palace Theater berdekatan ruang letak keretanya di sini dan peniaga yang telah dibenarkan (mempunyai permit) untuk menjual bunga di kawasan kaki lima rumah kedai mereka,” katanya.
Beliau memberitahu, MPS tidak membenarkan sebarang penjualan bunga di kawasan tertentu bagi mengelak kesesakan lalu lintas serta menjamin keselamatan peniaga dan pengguna jalan raya lain. Rentetan itu, katanya, penjual berkenaan haruslah memohon permit daripada MPS terlebih dahulu untuk berniaga di kawasan kaki lima rumah kedai. Justeru, beliau mengatakan pasukan penguat kuasa MPS akan melakukan pemantauan terutamanya di tepi jalan.
“Tiada tindakan dikenakan cuma anggota penguat kuasa menasihati peniaga supaya mengalihkan gerai sementara mereka dan pergi memohon permit untuk berniaga di manamana kawasan kaki lima kedai yang dibenarkan,” jelas beliau.
Donna turut berharap penjual atau peniaga bunga di sini faham serta dapat memberikan kerjasama kepada pihak MPS dalam melancarkan masalah trafik di bandar ini. Pesta Ching Ming akan disambut pada 5 April ini. Ia merupakan perayaan tradisi yang disambut masyarakat Cina untuk memperingati dan membersihkan kawasan tanah perkuburan nenek moyang, termasuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia.