KUCHING: Majlis pelancaran jersi baharu skuad Kuching City FC untuk kegunaan pada kempen Liga Super 2023 yang berlangsung di Tebingan Kuching malam tadi nyata meriah dan mempunyai signifikan tersendiri.
Lima warna berbeza jersi dipamerkan pada majlis yang disempurnakan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.
Warna putih dan biru yang akan digunakan untuk perlawanan digelanggang sendiri, berbanding tiga lagi warna iaitu oren, unggu dan coklat bagi kegunaan perlawanan digelanggang lawan.

Datuk Seri Abdul Karim ketika berucap pada majlis tersebut berharap adanya jersi baharu itu akan dapat mencetus semangat berganda buat pemain The City Boys dalam mengharungi musim pertama kempen Liga Super 2023.
“Lapan tahun berlalu dan kini Kuching City FC berjaya menempa nama di pentas kebangsaan dan bersaing dalam liga elit negara iaitu Liga Super.
“Ia satu pencapaian yang hebat di mata penyokong bola sepak di Sarawak secara khususnya dan rakyat Sarawak amnya,” ujar beliau.

Menurut Karim, meskipun mengimbau kembali kredibiliti The City Boys dengan permulaan yang sederhana bermula dari Liba Bola Sepak Rakyat (LBR) dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok liga utama ketika ini.
Karim sesungguhnya amat yakin, Kuching City FC mampu terus menjadi pesaing kepada pasukan handalan lain dengan barisan pemain yang diserapkan ke dalam skuad kendalian jurulatih cukup berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim.
“Saya percaya himpunan pemain berpengalaman, bersemangat tinggi dalam skuad Kuching City FC ketika ini mampu membawa kecemerlangan berterusan untuk saingan musim ini.
“Sekali gus, tidak mustahil mampu mengulangi pencapaian terbaik mereka yang berjaya layak ke pusingan suku akhir kempen Piala Malaysia 2022,” tambah Karim lagi.
Hadir sama pada majlis itu malam tadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki, Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman, Pengarah Urusan Lea Holdings (M) Sdn. Bhd. serta barisan rakan strategik dan penaja.