KUCHING: Kes jenayah kekerasan di Sarawak dilaporkan menunjukkan peningkatan mendadak bermula awal Januari hingga April tahun 2023 berbanding tempoh sama pada tahun 2022.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, jenayah tersebut antara kategori kes yang meningkat selain kes kecurian kenderaan yang dilaporkan berlaku di negeri ini.
“Jenayah kekerasan dilaporkan sebanyak 180 kes sekali gus menunjukkan peningkatan daripada 11 kes berbanding tempoh sama pada tahun 2022 bersamaan peningkatan kepada 94 peratus.
“Terdapat beberapa kes lain turut menunjukkan peningkatan termasuk kes kecurian kenderaan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Balai Polis Siniawan baharu di Pekan Siniawan, hari ini.
Bagi kategori jenayah indeks katanya, sebanyak 1,107 kes dilaporkan berbanding 1,129 kes tempoh sama pada tahun 2022.
Perbandingan itu menunjukkan penurunan 132 kes bersamaan 11 peratus.
Tambahnya, jenayah harta benda turut menunjukkan penurunan iaitu 143 kes dilaporkan berlaku sepanjang tempoh sama.
Walaubagaimanapun katanya, secara keseluruhan kadar jenayah di Kontinjen Sarawak pada umumnya masih berada di tahap penurunan dan dalam keadaan terkawal.
Tegasnya, PDRM Sarawak akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik khususnya bagi menjamin keselamatan rakyat di negeri ini.
Mengulas lanjut, Sapri menegaskan Kontinjen Sarawak kini sedang bersiap sedia bagi menghadapi persiapan Hari Gawai dan Ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka yang bakal diadakan tidak lama lagi.
“PDRM memberikan komitmen kepada Kerajaan Sarawak dengan penugasan secukupnnya demi memastikan program dijalankan dalam keadaan selamat dan terkawal,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut mendedahkan jenayah indeks daerah Bau menunjukkan peningkatan dengan 24 kes berbanding 15 kes tahun lalu.