Jangan ulangi kesilapan ketika lawan Selangor — David

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Gambar fail

KUCHING: Usah ulangi kesilapan sama. Berikan sepenuh fokus dan tumpukan kepada penyudahan yang baik, gesa David Usop kepada para pemainnya malam ini.

Dalam aksi menentang Felda United, David mahu anak-anak buahnya melupakan episod perit kekalahan kepada Selangor 1-2 dalam saingan Piala Malaysia.

“Tumpukan sepenuh perhatian sepanjang perlawanan. Usah buat silap kerana kesannya boleh menyebabkan kita merana,” ujarnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Gambar fail

David merujuk insiden gol sendiri yang “cantik” oleh Dzulazlan Ibrahim pada aksi di Stadium Negeri, yang seharusnya memihak kepada pasukan Ngap Sayot itu.

“Kita di ambang kebangkitan ketika itu, sebelum tekanan dan hilang fokus menyebabkan Sarawak hilang tiga mata, bahkan sekurang-kurangnya satu mata berharga.

Katanya, penting untuk anak-anak buahnya melupakan episod sedih itu dan memberi sepenuhnya tumpuan untuk memburu kemenangan.

“Malam ini, saya harap Mateo Roskam tidak lagi berhalangan, dan dapat digandingkan dengan Milos Raickovic bagi misi memburu gol.

“Saya juga berharap Sahil Suhaimi dapat bergandingan baik dengan tiga pemain muda, Nur Syahmie Iszuan, Abdul Rahim Abdul Razak dan Tommy Mawat Bada untuk mencipta kecoh di bahagian sayap.

Kata David lagi, kedudukan Ronny Harun masih belum diketahui, tetapi selepas direhatkan, beliau yakin Hairol Mokhtar mampu menghadirkan bantuan kepada Demerson Bruno Costa.

“Ini adalah perlawanan baharu. Kita perlu menyerap tekanan bagi memburu kemenangan pertama di gelanggang sendiri.

“Badi kekalahan yang menyelimuti pasukan sejak sepak mula yang lalu perlu ditamatkan,” katanya.

Bagaimanapun, hakikat sebenarnya tugas untuk menafikan Felda United bukan mudah, apatah lagi di bawah pimpinan B.Sathianathan, pasukan itu kini penuh taktik dan strategi mengejutkan.

Di atas kertas, Felda United bukanlah lawan yang mudah dalam liga, kerana menduduki tangga keenam dengan 20 mata, manakala skuad Sarawak merupakan penghuni tangga kesembilan dengan 14 mata. – Sarawakvoice

Berkaitan