KUCHING: Ketua Jurulatih Kuching City FC (KC FC), Irfan Bakti Abu Salim menyifatkan kekalahan teruk 5-0 menentang Selangor FC di laman sendiri sebagai suatu pengajaran berguna terhadap pasukan.
Beliau sambil itu mengakui anak buahnya terlalu menghormati pihak lawan sehingga memakan diri dengan mencatat keputusan perlawanan dianggap sebagai yang tercorot sepanjang kariernya.
“Mungkin kesan kita terlalu mengambil mudah dan satu-satunya perkara yang dapat dilihat daripada permainan kita terlalu hormat sehingga memberi ruang yang terlalu banyak kepada mereka.
“Maknanya jangan hormat sangat walaupun sebahagian besar pemain keseluruhan ramai dalam kalangan pemain kebangsaan dan import yang bagus,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan semalam.
Ditanya sama ada keputusan berpunca daripada ketidakserasian duo pertahanan, Irfan sebaliknya menegaskan anak buahnya bagaikan ketinggalan satu langkah ke belakang berbanding pasukan kendalian Tan Cheng Hoe malam itu.
“Kita lambat satu langkah, passing baru pergi jadi kita ketinggalan dan melihat dua gol awal kita mudah sangat ditipu helah pemain lawan,” katanya.
Justeru, beliau mengakui akan bekerja dengan berlipat ganda bagi menempuhi 24 baki perlawanan akan datang.
“Saya telah memberitahu mereka (pemain) jangan tunduk kerana kita masih asa 24 baki perlawanan.
“Perlu diakui juga, ini merupakan pentas perlawanan sengit bagi kami yang baru saja masuk ke dalam Liga Super,” katanya.
Mengulas lanjut, Irfan memberitahu akan melakukan rombakan bagi mengukuhkan lagi kesebelasan utama pasukan menjelang perlawanan menentang Sabah Isnin depan.
Tegasnya, untuk perlawanan seterusnya beliau mahu anak buahnya memberikan aksi yang lebih padu dengan mengambil iktibar daripada keputusan perlawanan menentang Selangor sebagai pembakar semangat.
“Ada 24 perlawanan lagi menanti dan kekalahan 5-0 itu sebagai pengajaran buat kami dengan bertindak membuat pembetulan pada hari pertama latihan (3 Mac).
“Ini pengajaran juga buat saya, tapi harus diingat Sabah lebih kurang macam Selangor,” tegasnya.