KUCHING: Salah satu strategi untuk meningkatkan populasi lembu di Sarawak ialah dengan memperkenal dan menguatkuasakan dasar larangan penyembelihan lembu produktif seperti yang diamalkan di Semenanjung Malaysia dan negara lain seperti Indonesia dan Thailand.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pengenalan dasar itu adalah penting untuk mencapai sasaran populasi lembu.
“Kementerian saya komited untuk mencapai tahap sara diri daging lembu yang disasarkan iaitu 25 peratus atau populasi tetap sekitar 60,000 ekor lembu menjelang 2030,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam.
Menurutnya, subsektor daging lembu di Sarawak menjadi sangat penting kerana permintaan untuk daging lembu semakin meningkat setiap tahun.
Bagaimanapun, katanya, kadar pembangunan subsektor daging lembu masih jauh untuk memenuhi tahap sara diri di Sarawak, dengan pada 2022, populasi lembu di negeri ini dianggarkan sekitar 17,000 ekor.
Menjelas lanjut, Rundi berkata, permintaan semasa untuk daging lembu di Sarawak sebahagian besarnya dipenuhi import lembu hidup dan daging lembu sejuk beku.
Justeru, beliau berkata, bagi mengurangkan kebergantungan kepada import, kementeriannya akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pengeluaran tempatan menerusi program pembiakan berstruktur dan program pembangunan memperkukuh lembu sedia ada yang melibatkan pekebun kecil dan sektor swasta.
Katanya pada masa ini, sekitar 75 peratus ekor lembu di Sarawak berada di bawah ladang kelapa sawit dan selebihnya 25 peratus diternak oleh pekebun kecil.
“Melalui program pembangunan ini termasuk Skim Pawah Lembu, ternakan yang berkualiti tinggi akan dibeli untuk meningkatkan populasi ternakan lembu dan stok pembiak yang diperoleh kemudian akan diagihkan kepada beberapa agensi berkaitan pertanian serta kepada penternak yang layak.
“Sebanyak 5,044 ekor lembu telah diagihkan di bawah Skim Pawah Lembu kepada 39 estet dan 66 penternak sejak 2016, sekali gus menjadikan jumlah lembu meningkat sebanyak 12,700 ekor atau lebih daripada dua kali ganda,” katanya sambil menambah tahun ini, sebanyak 640 ekor lembu pembiak akan diimport dari Australia dengan peruntukan RM5 juta.
Sehubungan itu, bagi memastikan program berkenaan berjaya, Rundi berkata, kementeriannya telah menjemput Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) untuk memulakan beberapa pusat pembiakan memandangkan pengalaman luas mereka sebagai peserta Skim Pawah dan dilengkapi dengan ladang kelapa sawit berskala besar.
Katanya sehingga kini, SALCRA telah menubuhkan pusat tersebut di Serian dengan kapasiti lembu sebanyak 300 ekor dan dua lagi pusat seumpama itu akan ditubuhkan di Bau dan Debak, Betong dengan peruntukan RM12 juta.
“Ketiga-tiga pusat ini akan menternak lembu menggunakan teknologi moden seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) selain menyediakan kemudahan untuk kuarantin, penyaman udara, rawatan, penggemukan dan penjualan.
“Secara keseluruhan, pusat ini mempunyai kapasiti sebanyak 1,300 ekor dan dijangka menghasilkan 750 ekor anak lembu setiap tahun menjelang 2026,” katanya.