Jana pendapatan RM5 bilion

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Sarawak mengumpul pendapatan sebanyak RM5.004 bilion atau 45 peratus daripada pendapatan keseluruhan berjumlah RM11.035 bilion yang disumbangkan pelbagai sumber di negeri ini setakat 30 April 2023. 

Mendedahkan perkara tersebut, Timbalan Premier merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara sumber tersebut adalah cukai jualan negeri sebanyak RM1.906 bilion serta pampasan tunai sebagai ganti minyak dan dividen sebanyak RM751 juta. 

‘’Antara sumber lain ialah royalti air mentah sebanyak RM171 juta, pendapatan faedah sebanyak RM258 juta, penerimaan hutan sebanyak RM103 juta, premium tanah sebanyak RM43 juta, geran Persekutuan dan bayaran balik sebanyak RM24 juta serta sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air, dan sewa tanah sebanyak RM127 juta, ‘’ katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu di Persidangan DUN Sarawak di sini, semalam Kata Uggah juga, Sarawak mengeluarkan sebanyak RM1.241 bilion atau 31 peratus daripada perbelanjaan biasa yang diluluskan, manakala sejumlah RM845 juta atau 11 peratus telah dikeluarkan untuk perbelanjaan pembangunan hingga 30 April tahun ini. 

Dalam hal berkaitan, beliau menggesa semua pegawai kawalan dan ketua jabatan agar terus komited memastikan pelaksanaan berjalan lancar bagi projek di bawah tanggungjawab mereka serta memastikan projek diserahkan mengikut jadual dan siap mengikut jadual.

Sarawak katanya, sentiasa mengekalkan amalan pentadbiran yang baik bagi mencapai dan mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. 

‘’Dalam hal ini, Sarawak sekali lagi diberikan sijil bersih laporan tanpa kecacatan akaun kewangan bagi tahun berakhir pada 31 Disember 2021 oleh Ketua Audit Negara Malaysia.

“Dengan ini, Sarawak mencapai 20 tahun berturut-turut dengan rekod bersih bagi penyata kewangannya,’’ ujarnya.

Berkaitan