Jaga dan layan warga emas

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
FATIMAH Abdullah melawat ruangan wad pesakit lelaki dan wanita yang disediakan di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching di Batu 12 Jalan Kucing-Serian

KUCHING: Rumah Seri Kenangan (SRK) Kuching di Batu 12 menyediakan persekitaran yang lebih kondusif dan selesa kepada para penghuninya.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, RSK Kuching baharu mempunyai kemudahan yang lebih baik berbanding bangunan lama dahulu.

“Sejak perbincangan diperingkat awal lagi kami sememangnya menekankan konsep sebegini dengan menjadikan RSK ini seperti rumah dan bukan institusi biasa.

“Kita mahu warga emas di sini menjalani hidup yang selesa dan kehidupan yang bermaruah. Disebabkan itu juga komponen yang kami ketengahkan mencerminkan hasrat tersebut,” katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Tapak Projek RSK Kuching di Batu 12, Jalan KuchingSerian, baru-baru ini.

Menurutnya, Pembinaan RSK Kuching merupakan projek fizikal di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang berjumlah RM35.9 juta.

Fatimah juga memberitahu, RSK Kuching baharu itu dilengkapi dengan bangunan pejabat pentadbiran; empat buah kluster kediaman (menempatkan penghuni yang berdikari); wad pesakit untuk penghuni sakit atau terlantar; dewan serba guna; dan dewan makan serta dapur.

Katanya lagi, ia juga mempunyai subpusat (bengkel muzik, gim, teater mini, kedai kopi, kedai cenderahati, mini perpustakaan, bengkel salun dan bengkel menjahit; dobi; tempat ibadat; kuaters pengetua dan kakitangan; rumah selamat serta pondok pengawal.

“Kemudahan yang disediakan ini juga adalah untuk membantu warga emas atau penghuni menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Kita jangan melihat mereka sebagai orang tua yang tiada nilai, kerana mereka ini layak mendapatkan penghormatan dan kehidupan yang bermaruah.

“Justeru, RSK Kuching ini akan menjadi penanda aras untuk kita menjaga dan melayani warga emas,” jelasnya.

Fatimah juga memaklumkan, RSK Kuching itu boleh menempatkan 156 penghuni tetapi setakat ini mereka mempunyai 61 penghuni warga emas.

“Bagi kami jika jumlah penghuni tidak mencapai angka maksimun itu adalah satu penanda yang baik.

“Kita mahu warga emas ini menghabiskan masa bersama-sama keluarga mereka dan keputusan untuk membawa mereka ke RSK adalah pilihan terakhir,” tegasnya.

Beliau turut menyampaikan Sijil Lantikan Ahli Lembaga Pelawat Rumah Seri Kenangan Kuching Sesi Oktober 2021 hingga November 2024.

Seterusnya menyaksikan simbolik penyerahan kunci RSK Kuching daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datuk Ir. Zuraimi Sabki kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak Noriah Ahmad.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohd Razi Sitam.

Berkaitan