KUCHING: Wanita juga berpotensi untuk menjadi seorang pemimpin, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.
Disebabkan itu, beliau menekankan Sarawak komited dalam melahirkan ramai wanita pakar dalam bidang teknikal, seni, industri dan lain-lain bagi membantu wanita terus mara ke hadapan.
“Wanita harus menjadi seorang yang kuat dan jangan segan untuk mencuba sesuatu yang baharu demi kemajuan diri sendiri.
Ini boleh dilihat sekarang, tidak banyak wanita mendapat jawatan yang tinggi atau sepatutnya.
“Pada zaman ini, kita patut merangkul kesaksamaan selaras tema sambutan tahun ini iaitu menggalakkan masyarakat menerima kepelbagaian serta memupuk keharmonian,” katanya.
Dr Sim yang juga Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Wanita 2023 di Ibu Pejabat SUPP di sini malam kelmarin.
Di samping itu, beliau berharap suatu hari nanti wanita mampu memegang jawatan sebagai Presiden SUPP pertama kerana sejak jawatan tersebut didominasi oleh golongan lelaki.
“Selagi saya masih bernafas, saya teringin melihat SUPP ini diterajui oleh seseorang yang bergelar wanita.
“Saya juga percaya ramai wanita SUPP berpotensi untuk memegang jawatan presiden kelak kerana melalui yang saya lihat, mereka mempunyai kualiti yang bagus untuk menyandang jawatan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau sangat gembira melihat kehadiran wanita SUPP meluangkan masa meraikan Sambutan Hari Wanita dengan membawa makanan masingmasing.
“Sebenarnya ini adalah tradisi SUPP dari dulu iaitu sama-sama membawa makanan setiap kali penganjuran program.
“Ini adalah salah satu cara mengeratkan silaturahim apabila semua orang boleh berkongsi rasa dan merasa makanan dari pelbagai kaum,” tambahnya.
