PUSA: Isu pembinaan masjid dan surau baharu di Dun Beting Maro yang masih belum bermula akan sentiasa dipantau dan diambil tindakan susulan dari semasa ke semasa.
Adunnya Razaili Gapor berkata, ia membabitkan Masjid Kampung Semarang, selain masjid di Kampung Spinang, Batang Maro, Tambak serta tiga surau baharu.
Menurutnya, kesemua isu berkaitan diharap dapat diselesaikan segera termasuk kelulusan permohonan tambahan peruntukan daripada kerajaan.
“Apa yang telah dipersetujui semasa pertemuan bersamasama agensi berkaitan di Kuching tempoh hari sedang diusahakan.
“Saya sendiri akan memantau dan mengambil tindakan susulan dari semasa ke semasa untuk memastikan projek bergerak.
“Kita amat mengharapkan komitmen semua dalam pertimbangan segera kerajaan agar projek pembinaan semua masjid dan surau baharu di Dun Beting Maro berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada siri jelajah Ihya Ramadan ke Masjid Rahmaniah dekat sini, kelmarin
Jelasnya, kebanyakan cadangan projek tersebut memerlukan tambahan kos ekoran kenaikan harga bahan binaan.
Semasa majlis berbuka puasa di Pusa, Razaili menyampaikan sumbangan kepada 60 asnaf dari Kampung Hilir, Tengah dan Hulu Pusa.
Terdahulu beliau menyatakan, Ramadan yang disifatkan sebagai madrasah merupakan raja segala bulan yang membuka peluang kepada umat Islam meningkatkan ibadah serta mengukuhkan pegangan agama masing-masing.
“Inilah platform pembentukan peribadi dan sahsiah umat Islam yang terbaik melalui program dan aktiviti keagamaan yang dianjurkan.
“Ramadan sebagai peluang dan titik mula, mampu mengubah masyarakat khususnya anak muda ke arah yang lebih cemerlang.
“Sekiranya kita dapat melaksanakan dengan lebih banyak program dan aktiviti keagamaan serta pengimarahan masjid dan surau, maka, inilah cara paling baik untuk kita bersama mentransformasikan masyarakat di sini,” ujarnya.
Justeru, Razaili menyeru supaya program dan aktiviti keagamaan serta pengimarahan sepanjang Ramadan dapat diteruskan dan dilipatgandakan.
Beliau dalam pada itu mengharapkan amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat dapat dihidupkan, yang mewujudkan semangat penyatuan serta nilai perpaduan yang utuh.
“Alhamdulillah di bulan mulia ini kita digalakkan untuk memperbanyakkan amalan bersedekah kerana secara sedar atau tidak, budaya ini menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita dengan tujuan berkongsi rezeki.
“Saya mengharapkan banyak budaya masyarakat yang mendorong ke arah kebaikan dapat diteruskan,” tambahnya.