PETALING JAYA: Ahli ekonomi memberi amaran agar Malaysia tidak terlibat lebih lanjut dengan China dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) disebabkan risiko kepada ekonomi, memandangkan beban hutang Malaysia tinggi.
Liew Chee Yoong daripada Pusat Pendidikan Pasaran berkata, Malaysia perlu meminjam lebih banyak wang daripada China, melalui pelaburan infrastruktur, jika mahu terlibat lebih lanjut.
“Negara tidak mampu untuk meningkatkan tahap hutangnya lagi” memandangkan jumlah hutang dan liabiliti Malaysia sebanyak RM1.45 trilion atau 81% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Beliau mengulas gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar China “menggerak semula” projek BRI dengan menggesa kerjasama antara negara.
Katanya, sudah tiba masanya BRI mendapatkan semula momentum apabila dunia semakin pulih daripada wabak Covid-19.
BRI ialah inisiatif pembangunan infrastruktur besar-besaran oleh China yang merentasi dunia.
Pengkritik menuduh China mencipta perangkap hutang untuk negara membangun.
Liew berkata, Malaysia tersilap apabila menggunakan BRI untuk membina projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan bukannya Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura
HSR akan meningkatkan sektor pelancongan dan hospitaliti serta industri perkhidmatan lain berkaitan.
“Sebaliknya, BRI digunakan untuk membina ECRL, yang pada pandangan saya, kurang berkesan dalam merancakkan ekonomi,” kata Liew, yang juga pensyarah UCSI.
Projek HSR sejauh 350km itu dibatalkan pada Januari 2021 dengan Malaysia membayar pampasan RM320 juta kepada Singapura.
Shankaran Nambiar daripada Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia berkata: “Jika kita terlibat dengan projek BRI, kita seharusnya untung dari segi pemindahan teknologi, peluang pekerjaan, pembangunan industri baharu, dan limpahan lain seperti itu.”
“Rumit” untuk memperoleh keuntungan ekonomi tanpa terlebih dahulu membuat pengorbanan strategik. Putrajaya harus berusaha untuk kekal pragmatik sambil mendalami kerjasama dengan Beijing. – BERNAMA