Impak positif ekonomi Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Projek pembinaan Kilang Bahan Berasaskan Silikon Karbon Rendah Bersepadu Pertama di Samalaju Industrial Park Bintulu memberikan impak positif kepada ekonomi, sosial dan alam sekitar di Sarawak.

Pengerusi Adam Digital Assets Sdn. Bhd.

Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penubuhan kilang tersebut juga menjadi perintis di Asia Tenggara menggunakan bahan mentah iaitu silika kepada produk akhir, panel solar.

Kata beliau, pihaknya juga menubuhkan konsortium usaha sama tersebut dengan tiga syarikat terkemuka iaitu Haitai Solar, Perbadanan Kejuruteraan Jentera China (CMEC) dan Solar Pulse Sdn. Bhd.

“Justeru, kami juga mengenal pasti lokasi untuk membina kilang tersebut iaitu di Samalaju Industrial Park Bintulu dengan pelaburan langsung bernilai AS$1.5 bilion atau kira-kira RM6.7 bilion.

“Projek ini juga bermula pada 2024 dan siap menjelang 2025, dan kilang itu juga akan mula beroperasi sepenuhnya pada awal 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Koperatif antara Adam Digital Assets Sdn. Bhd. dengan Haitai Solar, CMEC dan Solar Pulse Sdn. Bhd. di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, kelmarin.

Tambahnya, projek tersebut juga akan menghasilkan kira-kira 4,000 peluang pekerjaan apabila beroperasi sepenuhnya kelak dan akan menggaji 3,800 pekerja mahir serta 200 profesional.

“Ini mencapai 40 peratus daripada sasaran dalam Strategi Pembangunan PascaCovid-19 (PCDS) 2030 untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dalam industri berkaitan teknologi tinggi.

“Pada masa yang sama, konsortium kami ini juga komited untuk bekerjasama rapat dengan institusi kemahiran, kolej dan universiti di Sarawak.

“Kami akan membangunkan modul yang ditetapkan khusus mengenai teknologi solar supaya dapat mendidik dan melatih lebih ramai kakitangan berkemahiran tinggi dalam industri,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Khalid juga memaklumkan bahawa pihaknya juga menyokong usaha Kerajaan Sarawak dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai tenaga solar sebagai sebahagian inisiatif tenaga hijau dan boleh diperbaharui.

“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak khususnya Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (Mintred) atas sokongan mereka terhadap projek Kilang Berasaskan Karbon Silikon Rendah Bersepadu Pertama tersebut,” jelasnya.

Projek berkenaan dibawa ke negeri ini Adam Digital Assets iaitu syarikat tempatan Sarawak menyediakan penyelesaian tenaga hijau inovatif kepada rantau ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Mintred Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Pengerusi Haitai Solar Wang Yong, wakil CMEC Richard Zhang Tian Peng, Ketua Pegawai Eksekutif Solar Pulse Sdn. Bhd. Mohd Izhar serta wakil yang lain.

Berkaitan