KUCHING: Ekspo Minggu Tenaga Antarabangsa ke-5 2023 (IEW23) yang diadakan pada 13 hingga 15 Jun 2023 dijangka dapat menarik kehadiran 5,000 pelawat perdagangan termasuk dari negara luar.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni berkata, IEW23 menyerlahkan inisiatif Sarawak menerajui sumber tenaga mampan bagi menjana ekonomi sekali gus sebagai hab tenaga bersih utama di dunia.
Katanya, IEW23 adalah acara berhubung tenaga terbesar di Borneo dengan jangkaan kehadiran 200 pempamer dan lebih 500 perwakilan akan menghadiri persidangan tersebut.
“Antara pemain industri utama yang terlibat kali ini adalah termasuk, Shell Sarawak, Technip, Penerokaan Minyak dan Gas JX Nippon, Velesto Energy, PETRONAS, SEDC Energy, Sarawak Energy Berhad, Petroleum Sarawak (PETROS), Pihak Berkuasa Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Petra Energy dan Huawei Technologies,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Ekspo Minggu Tenaga Antarabangsa ke-5 2023 (IEW23) yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuching (BCCK) di sini, semalam.
Sementara itu Dr Hazland menambah, pemain industri terbesar dari China, Singapura dan Malaysia telah mengesahkan untuk menubuhkan pavillion di Sarawak bagi mempamerkan pelbagai teknologi inovasi dan inisiatif dalam perjalanan ke arah masa depan yang bersih dan mampan.
Di samping itu katanya, rangkaian teknologi tenaga boleh diperbaharui termasuk biojisim angin, hidrogen, tenaga hidro suria juga akan dipamerkan dalam ekspo tersebut.
“IEW23 melibatkan lebih 20 penceramah termasuk tiga panel peneraju tenaga dari meja bulat pelaburan Sarawak itu juga akan memberi tumpuan kepada meja bulat Indonesia.
“Perbincangan meja bulat tersebut akan memberi peluang kepada perwakilan mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi semasa.
“Meja bulat pelaburan Sarawak adalah perkongsian daripada syarikat antarabangsa yang melabur di Sarawak khususnya dalam bidang tenaga hijau dan ekonomi hidrogen
“Ia menyediakan saluran untuk mewakilkan kepada tempatan dan antarabangsa untuk mengambil bahagian dalam peralihan tenaga Sarawak.
“Tumpuan meja bulat Indonesia adalah peluang yang sangat baik untuk perwakilan mengetahui lebih lanjut mengenai pembangunan di Indonesia terutama di Kalimantan dan di Ibu Kota Nusantara,” tambahnya.
Pendaftaran IEW23 dibuka kepada pengunjung yang berminat secara percuma di www.iew.my dan maklumat lanjut boleh berhubung terus di laman web anbtarsus.com.