i-CATS sumbang 200 anak pokok di CMPC Gunung Singai

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
TERIMA... Para pelajar bersama pensyarah Kolej Universiti i-CATS merakam gambar kenang-kenangan di pintu gerbang CMPC Gunung Singai.

KUCHING: Seramai sekitar 80 pelajar dan pensyarah dari Kolej Universiti i-CATS menyertai program khidmat masyarakat di Gunung Singai, kelmarin.

Program ‘MPU1252 Khidmat Masyarakat & FIM3003 Komunikasi 101’, di atas bimbingan Pensyarah Encik Muhd Nor Shafiee Ibrahim dan Puan Evyina Kintang, merupakan program julung kali diadakan dengan kerjasama pihak Gereja Catholic Memorial Pilgrimage Centre (CMPC) Gunung Singai, Bau.

Sebanyak 200 anak pokok pelbagai jenis hasil sumbangan Kolej Universiti i-CATS telah diserahkan kepada pihak CMPC bagi tujuan menceriakan kawasan sekitar gereja yang dikenali sebagai khazanah lama yang bertapak di destinasi pelancongan popular tersebut.

TERIMA… Para pelajar bersama pensyarah Kolej Universiti i-CATS merakam gambar kenang-kenangan di pintu gerbang CMPC Gunung Singai.

Dekan Fakulti Pengajian Multidisiplin & Kelestarian (FMSS), Nurulhuda Nadziri menegaskan, penganjuran program bertujuan memberi inspirasi serta membudayakan pelajar ke arah mesra komuniti selain seimbang dari segi intelek, sahsiah dan jasmani.

“Hal ini adalah selaras dengan visi Kolej Universiti i-CATS iaitu menjadi institusi pendidikan teladan pilihan dan melahirkan graduan berpandangan jauh.

“Kursus-kursus generik seperti ini seharusnya mendapat perhatian yang serius dan bukanlah hanya dilihat sebagai subjek yang wajib bergraduat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kelmarin.

CERIA… Ketua Program, Muhd Nor Shafiee Ibrahim (dua kanan) bersama para pelajar menunjukkan tanaman bunga pelbagai jenis untuk menghiasi kawasan Gunung Singai.

Justeru katanya, aktiviti-aktiviti seperti ini diharap tidak terhenti dan seharusnya mempunyai kesinambungan untuk diadakan di kawasan komuniti lain khususnya pusat tarikan pelancongan di Sarawak.

Antara pengisian program telah diadakan termasuk gotong-royong pembersihan kawasan sekitar, membawa anak-anak pokok ke gereja CMPC, aktiviti keceriaan di tapak terpilih, dan juga penyerahan tanda kecil i-CATS Universiti Kolej.

Beberapa acara lain termasuk pendakian gunung Singai terpaksa dibatalkan berikutan cuaca hujan lebat melanda kawasan Kuching secara berterusan.

Berkaitan