MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pengguna menghantar aduan mereka ke “hotline” 019-2794317 atau 1-800-866-800 seandainya tidak berpuas hati dengan kenaikan harga barang ekoran pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Timbalan Pengarah KPDNHEP Sarawak Mohd Nawawi Abdul Rahman berkata pengguna boleh menghantar maklumat seperti foto resit dan nama premis peniaga terlibat kepada pihak mereka.
Memetik laporan Sarawak Tribune pada Jumaat, Nawawi selepas mengadakan pemeriksaan di pasar raya E-mart Riam berkata, pihaknya sedia meninjau dan menyiasat pihak terlibat mencatut.
Nawawi berkata, setakat 19 September lepas, sebanyak 80 premis di Miri diperiksa pihak KPDNHEP dan pihaknya menerima 46 aduan daripada pengguna.
KPDNKHEP mengawasi harga barang untuk memastikan pedagang tidak hanya menaikkan harga semasa pelaksanaan setelah melakukan pemeriksaan.
Beliau berharap dengan pemeriksaan rutin dijalankan, peniaga tidak sewenang-wenang menaikkan harga barang ketika SST dilaksanakan.
Beliau berkata, pihaknya maklum beberapa pembekal bercadang menaikkan harga barang pada Oktober dan tindakan ini dilihat sebagai “serangan” terhadap pelaksanaan SST.
Menurut beliau, KPDNHEP memerlukan kerjasama orang awam memantau dan membuat laporan berkaitan harga barang ini, dan tindakan keras dikenakan kepada peniaga yang didapati mengambil kesempatan terhadap pengguna. –Sarawakvoice