Gagal hadir di ibu pejabat SPRM: Najib boleh dikenakan tindakan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sekiranya gagal hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya esok, untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki seperti dipetik Bernama berkata, notis telah diserahkan kepada Najib untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi esok untuk dirakam keterangan.

“Sekiranya beliau tidak hadir untuk proses mengambil keterangan, beliau boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Kuala Lumpur hari ini tanpa mengulas lanjut bentuk tindakan yang boleh diambil.

“Setakat ini SPRM hanya memanggil Najib sahaja dan belum membuat keputusan memanggil mana-mana individu lain,” lapor agensi berita itu lagi.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di Kuala Lumpur untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan. –Sarawakvoice

Foto : Bernama

Berkaitan