Fokus kawal mental persediaan tilawah dan hafazan al-Quran

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Kemahiran mengawal mental menjadi aspek penting sebagai persediaan peserta tilawah dan hafazan al-Quran dalam mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha berkata, peserta Sarawak diakui tidak kalah dari aspek mutu bacaan dan tajwid, namun kalah dari aspek mental.

“Sering kita dengar mutu bacaan qari dan qariah kita di Sarawak sangat bagus, namun apabila sampai ke pentas kebangsaan, saya dapati ada sedikit kekurangan.

“Saya tidak pasti sebabnya kerana hanya tuan punya badan yang tahu puncanya dan bahagian mana yang perlu diberi perhatian lebih,” ujarnya kepada Suara Sarawak.

Misnu menambah, perkara ini berlaku disebabkan kurang keyakinan terhadap keupayaan diri apabila mendengar bacaan wakil negeri lain lebih baik daripada wakil Sarawak.

“Jaga kesihatan diri dan lupakan seketika perkaraperkara yang boleh mengganggu fikiran anda semua buat masa ini. “Jika penguasaan mental ini tidak dilakukan, ia mungkin mengganggu persiapan wakil kita (Sarawak) kelak,” tambahnya.

Dalam pada itu, Misnu juga berpesan kepada peserta supaya menjaga nama baik Sarawak serta tatasusila semasa berada di lokasi pertandingan.

“Elakkan keluar berurusan berseorangan memandangkan kita bukan berada di tempat kita sendiri.

“Saya juga minta pegawai pengiring untuk memberi perhatian sepenuhnya kepada peserta supaya dapat menyertai pertandingan ini dengan sempurna,” ujar Misnu.

Terdahulu, Misnu menerima kunjungan hormat dan simbolik penyerahan bendera negeri kepada wakil Sarawak di Persada Majma’, Majma’ Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang terdiri daripada pegawai pengiring, jurulatih dan peserta. Lima peserta akan mewakili Sarawak ke Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran, Peringkat Kebangsaan di Arena Butterworth, Pulau Pinang pada 11 hingga 16 Jun ini.

Berkaitan