SIBU: Padah menunggang motosikal secara merbahaya, enam lelaki tempatan ditahan dalam dua operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili dalam satu kenyataan hari ini berkata, Op Samseng Jalanan itu disertai 19 anggotanya di Jalan Awang Ramli Amit dan Dataran Tun Tuanku Bujang.

Jelas beliau, enam penunggang terbabit disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan memandu secara melulu dan merbahaya.
“Dalam operasi pertama yang dijalankan pada 24 Mac lalu dari jam 9 malam hingga jam 1.30 pagi di lokasi tersebut, seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun ditahan.
“Bagi operasi seterusnya di lokasi sama pada 25 Mac lalu dari jam 10 malam hingga jam 3 pagi, lima penunggang berusia antara 17 hingga 21 tahun ditahan,” katanya.
Zulkipli berkata, dalam operasi itu sebanyak tiga motosikal turut dirampas dalam operasi kedua bagi tujuan dokumentasi.
“Beberapa kesalahan dan saman telah dikeluarkan kepada pemandu atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi tersebut.
“Antaranya tidak mempunyai lesen memandu, tiada nombor plat, tiada cermin sisi, tiada cukai jalan, cukai jalan tamat tempoh, lampu brek rosak dan ekzos yang diubah suai,” katanya.
Dalam pada itu, Zulkipli menggesa masyarakat supaya mematuhi undang-undang jalan raya dan mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak dan memastikan mereka sentiasa mematuhi peraturan.
