KUCHING: Jabatan Pertanian merancang untuk mewartakan Empangan Bakun di Belaga sebagai Zon Perindustrian Akuakultur (AIZ) menjelang 2024.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, ia dianggarkan berpotensi mengeluarkan ikan dan udang air tawar sebanyak 40,000 tan metrik dengan nilai pengeluaran RM500 juta setahun.
Di samping itu, beliau berkata, kementeriannya akan terus mengenal pasti tapak yang sesuai di sepanjang kawasan pantai untuk membangunkan lebih banyak Taman Akuakultur bagi meluaskan pengeluaran ikan dan udang untuk memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa.
“Pembangunan bagi AIZ dan Taman Akuakultur adalah inisiatif penting untuk menggalakkan kelestarian pembangunan industri akuakultur dan sebahagian besarnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Selasa.
Menurutnya sehingga kini, empat kawasan diwartakan oleh Kerajaan Sarawak sebagai AIZ iaitu Empangan Batang Ai di Lubok Antu, Loba Stoh Rambungan di Kuching, Sundar Awat-Awat di Lawas dan Selalang di Sarikei untuk pengeluaran ikan dan udang air tawar bernilai tinggi.
Selain itu, Rundi berkata, kementeriannya merancang untuk mewujudkan Empurau and Tapah Belt di Kapit dan Bintulu.
“Jabatan Pertanian telah mengambil inisiatif untuk menaik taraf kemudahan sedia ada di Stesen Utama Perikanan Darat Song, Kapit untuk dilaksanakan penternakan dan pembangunan ikan asal seperti empurau, semah, labang dan tengadak dari Katibas dan Baleh dengan peruntukan awal sebanyak RM105,000.
“Pusat tersebut akan dinamakan semula sebagai Pusat Pembenihan Ikan Asal Kapit,” katanya.
Di samping itu, dua stesen satelit di Kapit iaitu Stesen Pertanian Merirai dan Engkuah juga akan dibangunkan sebagai stesen perikanan darat untuk pemuliharaan dan akuakultur ikan asal berimpak tinggi.
Rundi berkata cadangan pembangunan ‘Tapah Belt’ di Bintulu akan dimulakan dengan menaik taraf kemudahan di Stesen Perikanan Darat Sungai Sebiew dan akan dinamakan semula sebagai Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Kemena Tapah.
“Pusat itu akan menjalankan penyelidikan dan pembangunan ikan tapah serta lain-lain ikan hiasan dan tumbuhan akuatik bernilai tinggi,” katanya.
Beliau menambah, sebuah kemudahan penyelidikan satelit, Kem Pangkalan Penyelidikan dan Pemuliharaan Tapah Ulu Binyo juga akan ditubuhkan untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan perikanan Tapah.