Dr Mahathir: Saya sudah tak layak terima anugerah kebesaran Sultan Selangor

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan bahawa keputusannya memulangkan pingat darjah kebesaran kepada Istana Selangor  kerana  beranggapan beliau tidak layak lagi  memiliki pingat yang dianugerahi pada 1978 dan 2003 ketika beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri.

“Saya fikir istana merasakan saya tak lagi layak untuk terima anugerah berkenaan. Kalau saya nak terima mestilah sebab saya layak. Tetapi sekarang saya dikatakan akan membakar seluruh negara. Jadi saya fikir saya sudah tidak layak lagi,” kata Dr Mahathir yang memerintah selama 22 tahun, dari 1981 hingga 2003.

Beliau berkata demikian  selepas mempengerusikan sidang media Pakatan Harapan di Ibu Pejabat PKR semalam.

Dalam satu temu bual dengan akhbar nasional beberapa hari lalu, Sultan Sharafuddin  Idris Shah bertitah bahawa Dr Mahathir seorang yang memiliki “inferiority complexs” dan juga bakal membakar negara dengan kemarahannya.

Komen itu dibuat susulan kenyataan bekas Perdana Menteri itu bahawa kaum Bugis ialah lanun, sedangkan Mahathir berulang kali sebelum itu, menjelaskan bahawa kenyataan itu ditujukan kepada pemimpin tertentu.

Dr Mahathir dan isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Ali  dilaporkan media telah mengembalikan anugerah berkenaan kepada pihak Istana Selangor pada Khamis.

Dalam satu kenyataan semalam,  Dewan Diraja Selangor mengesahkan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah sudah memulangkan dan menyerahkan kembali darjah kebesaran yang diterima daripada Istana Selangor. 

Tidak pula diketahui sama ada Dr Mahathir akan mengembalikan darjah kebesaran lain yang dianugerahi oleh Istana negeri-negeri lain yang Sultannya mempunyai latar belakang Bugis. – Sarawakvoice

Berkaitan