Diktator penyebab sistem negara rosak: Pas minta Dr Mahathir bertaubat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang  hari ini menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad  supaya bertaubat kerana bekas Perdana Menteri yang memerintah selama 22 tahun itu menjadi penyebab kerosakan sistem negara, mengurangkan hak dan kuasa Melayu-Islam dan Majlis Raja-raja, mengamalkan demokrasi tempang dan memerintah negara secara diktator.

“Semua kesalahan ini beliau tidak mengaku dan tidak minta maaf kepada mangsa, bahkan masih lagi mempertahankan salah lakunya. Ini menunjukkan beliau tidak jujur untuk selamatkan Malaysia. Yang beliau mahu adalah jatuhkan Najib sahaja. Hakikatnya, mengundi DAP, PKR, Amanah, Bersatu adalah mengundi dan mengiakan kezaliman Mahathir,” kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam temu bual yang disiarkan  Sinar Harian, hari ini.

Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan sebelum ini mendakwa menyokong Pas sama seperti memberi undi kepada BN, dan minta Pas supaya bertaubat.

Gambar fail

“Pas bukan parti dalam BN dan kita akan bertanding di kerusi di mana BN bertanding,” kata Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Diminta mengulas tentang kenyataan Mahathir, kebencian Pas kepada Amanah dan DAP melebihi azam untuk selamatkan negara dan agama, Ahli Parlimen Marang itu berkata:  “Sejak ditubuhkan sehingga hari ini, Pas tidak meninggalkan matlamat untuk menyelamatkan negara melalui Fasal 5 Perlembagaan Pas.”

“Bezanya, Pas mahu selamatkan negara dengan Islam bersama jaminan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan. Adapun DAP tidak menghormati perkara ini dengan berani menunjukkan sikap menentang usaha memartabatkan mahkamah syariah melalui pindaan RUU355,”’ tambahnya.

Ujarnya,  Amanah pula ditubuhkan di atas restu DAP untuk menggantikan Pas, malangnya Amanah tidak berjaya mendapatkan undi Melayu, bahkan penubuhannya memberi bebanan kepada DAP.

Tambahan pula, katanya, Pas  melihat harapan DAP untuk menyelamatkan negara adalah palsu dengan beberapa kes pemimpinnya terpalit isu rasuah.

Katanya lagi, Pas yang memerintah Kelantan hampir 27 tahun adalah kerajaan bersih tanpa rasuah dan diiktiraf sebagai pentadbiran berintegriti oleh agensi-agensi kerajaan yang membuat audit kepada pentadbiran kerajaan, walaupun tempoh masa pemerintahan lebih panjang.

“Pas  ambil pendekatan tahaluf siyasi dan ta’awun bagi hadapi PRU14. Pas bertahaluf dengan parti-parti dalam Gagasan Sejahtera bagi menghadapi BN dan Pakatan Harapan. Adapun dengan Umno-BN, kita mengambil pendekatan taawun iaitu menyokong apa yang baik dan positif demi keutamaan Islam dan Melayu dan kita membantah apa yang negatif dan salah yang merugikan negara dan rakyat…,” katanya.

Ditanya tentang lima kelebihan Pas berbanding Pakatan Harapan untuk menewaskan BN, Abdul Hadi berkata, dasar Pas ialah Islam dan Pas tidak pernah menjual prinsip ini demi meraih undi pilihan raya atau kemenangan sementara.

Kedua, katanya,  Pas ada kekuatan akar umbi yang tidak dimiliki oleh pembangkang lain. Kita ada 196 kawasan dan 7,063 cawangan di seluruh negara.

Ketiga, kata beliau,  Pas bersama Gagasan Sejahtera yang didukung oleh parti-parti politik, NGO-NGO dan tokoh-tokoh masyarakat.

Keempat, menurut Abdul Hadi, Pas meninggalkan politik tegang dan amalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang lebih mendekatkan Pas dengan pengundi dan mewujudkan keamanan serta  kestabilan politik negara.

Faktor kelima, kata beliau ialah, orang Melayu bersama Pas.

“Kita perlu sedar undi teras politik Malaysia adalah Melayu. Mana-mana parti yang mahu jadi pemerintah mesti dapat undi Melayu dan kita lihat Bersatu dan Amanah tidak dapat menarik undi Melayu kepada Pakatan Harapan, cuma Pas perlu juga melibatkan bukan Islam yang masih tidak fanatik perkauman dan agama,” ujarnya. – Sarawakvoice

Berkaitan