KUCHING: Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) akan bekerjasama dengan institusi kewangan lain berhubung peluang perniagaan selain memanfaatkan aplikasi pendigitalan untuk mewujudkan sistem perbankan pintar di negeri itu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia juga sebagai usaha meningkatkan perkhidmatan operasi serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Sejajar penekanan terhadap kelestarian alam sekitar, DBOS juga akan mencari peluang menyediakan pembiayaan hijau kepada perniagaan yang menerapkan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam amalan perniagaan mereka,” katanya pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Malaysia 2023 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.
Sementara itu Abang Johari berkata, DBOS ditubuhkan dengan modal sebanyak RM500 juta dana rizab Sarawak untuk mempromosikan penyelesaian berasaskan pasaran bagi menangani cabaran kewangan pembangunan di Sarawak.
Bank tersebut katanya turut memanfaatkan rizab besar Sarawak yang diperuntukkan kepada projek pembangunan Kerajaan Sarawak sahaja.
“Oleh itu, bank itu tidak menerima deposit daripada orang ramai seperti manamana bank perdagangan lain, tetapi hanya menerima deposit daripada perbadanan Kerajaan Sarawak dan rizabnya untuk menyediakan pembiayaan alternatif melebihi peruntukan Rancangan Pembangunan Lima Tahun (RMK) Malaysia,” katanya.
Sejak lima tahun lalu Abang Johari berkata, DBOS menunaikan tanggungjawab membiayai projek infrastruktur strategik seperti Rangkaian Jalan Pesisir, Jalan Utama Kedua, Grid Bekalan Air Sarawak, Skim Elektrifikasi Luar Bandar dan pelbagai projek infrastruktur.
Projek ini mewujudkan impak yang besar dari segi ketersambungan, hubungan dan kebolehcapaian merentasi 10 wilayah Sarawak yang luas melalui jalan raya dan jambatan, membekalkan air bersih, selamat dan boleh dipercayai, serta memacu pembangunan ekonomi inklusif dan mampan di seluruh Sarawak.
“Malah sehingga Oktober 2022, jumlah aset bank telah meningkat kepada RM9.47 bilion dengan pendapatan kira-kira RM130.5 juta,” katanya.