KUCHING: Tiada pilihan. Tiga mata. Itu arahan David Usop kepada anak-anak buahnya menjelang aksi Piala Malaysia menentang Selangor di Stadium Negeri malam ini.
Pun begitu, David mengerti bahawa pasukan gergasi merah itu bukan lawan yang mudah untuk dijinakkan.
“Mereka memiliki pemain import baharu Rufino Segovia dari Sepanyol yang perlu dikawal ketat, selain Francis Forkey Doe dan Andik Vermansyah yang lincah.
“Malah ketajaman dua penyerang tempatan Amri Yahyah dan Syahmi Safari seharusnya merisaukan pertahanan kami, terutama selepas aksi mereka membenamkan T-Team, 4-2 di Stadium Selayang dan mengikat Terengganu 1-1 dalam perlawanan sulung Piala Malaysia.
“Masalah saya sekarang ialah pemain saya kepenatan.
Dua aksi “berat” — beraksi dalam hujan menentang The Red Warrior dalam Liga Super di Kelantan dan menentang JDT ketika aksi Piala Malaysia di Larkin, ternyata menyebabkan para pemainnya keletihan.
“Tiga pemain utama kami; Milos Raickovic, Demerson Bruno Costa dan Hairol Mokhtar berhadapan masalah otot.
“Situasi ini menyebabkan saya terpaksa menunggu saat akhir untuk menentukan sama ada mereka dapat diturunkan,” jelasnya.
Kata David, dalam menghadapi lambakan pemain berpengalaman P. Maniam itu, anak-anak buahnya perlu berjiwa kental dan tidak patah semangat.
“Mental harus kuat, dan saya berharap mereka dapat mengulangi persembahan menarik di Kelantan,” tambahnya.
Ditanya akan strategi yang diguna pakai menjelang pertemuan ini, David berkata, percaturan hanya dapat ditentukan saat akhir.
“Apa jua strategi yang dirangka, yang penting adalah keputusan. Yang penting adalah jaringan gol.
“Sekarang bukan masanya untuk mencipta peluang, tetapi seperti yang dituntut semua pihak, adalah untuk memastikan gawang lawan bergegar,” katanya lagi.
Dalam aksi Liga Super, Selangor menewaskan Sarawak 2-1 di gelanggang lawan sebelum terikat 1-1 di Petra Jaya.
Dalam Kumpulan D, Sarawak di kedudukan tercorot, manakala Selangor di kedudukan kedua setelah mengutip satu mata ketika melayan Terengganu. – Sarawakvoice