KUALA LUMPUR: Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.
Dewan di-Raja Selangor berpendirian siasatan dan tindakan undang-undang di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa-apa jua undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kenyataan yang menyentuh bangsa Bugis.
“Tun Dr Mahathir sebagai seorang bekas perdana menteri yang menerajui pemerintahan negara selama tempoh 22 tahun seharusnya lebih berhati-hati di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan seharusnya juga lebih mengetahui tentang fakta sejarah keturunan bangsa Bugis,” kata kenyataan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak, terutama ahli politik, untuk tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebaga modal politik kerana ianya boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat.
Baginda berkata, setelah berbincang dengan para ahli Dewan di-Raja Selangor, Dewan itu memandang serius, murka dan amat kecewa dengan petikan ucapan pengerusi Pakatan Harapan itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.
“Berdasarkan rakaman klip video ucapan berkenaan yang telah tular di media sosial, tohmahan dan kenyataan Tun Dr Mahathir itu jelas menghina dan menggolongkan bangsa Bugis ini kononnya berasal usul dari golongan lanun, perompak dan penjenayah,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, Ahli-ahli Dewan di-Raja Selangor menganggap ucapan berkenaan amatlah keterlaluan dan boleh mencetuskan perasaan benci dan prasangka buruk rakyat terhadap bangsa Bugis sehingga boleh mencetuskan huru-hara.
“Tohmahan ini secara tidak langsung menghina salasilah dan keturunan Kesultanan Selangor yang berasal dari Bugis,” katanya.
Pada acara tunjuk perasaan Sayangi Malaysia – Hapuskan Kleptokrasi di Padang Timur 14 Oktober lepas Tun Mahathir membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun bugis”.
Kenyataan itu mengundang kontroversi dan bantahan daripada pelbagai pihak, termasuk kaum Bugis di Indonesia. – Sarawakvoice