Bugis lanun: Lim Kit Siang harus nyatakan pendirian tentang kenyataan Mahathir

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Lim Kit Siang harus menyatakan pendirian berkaitan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa bangsa Bugis ialah lanun.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata oleh sebab Dr Mahathir ialah pengerusi Pakatan Harapan, berdiam diri bukan satu pilihan kerana rakyat perlu tahu akan pendirian Kit Siang berhubung isu bangsa Bugis lanun seperti diucapkannya baru-baru ini.

Menteri itu menegaskan sementara Barisan Nasional mengutuk kenyataan Dr Mahathir yang menghina bangsa Bugis itu, pendirian Pakatan Harapan dilihat tidak jelas.

“Oleh itu  Kit Siang perlu tampil dan menjelaskan pendirian Pakatan,” kata Salleh.

Dewan Diraja Selangor dalam kenyataan pada Khamis lepas berpandangan siasatan serta tindakan undang-undang  di bawah Akta Hasutan 1948 atau apa juga undang-undang berkaitan wajar diambil terhadap Dr Mahathir.

Dalam catatan blognya, Salleh berkata tindakan Kit Siang berdiam diri boleh dianggap sebagai bersetuju dengan Dr Mahathir bahawa bangsa Bugis ialah lanun dan terdapat lebih daripada seorang Raja yang berasal daripada keturunan Bugis.

Beberapa pihak yang mewakili masyarakat Bugis di Malaysia dan Indonesia sebelum ini turut mendesak supaya Dr Mahathir membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang dibuatnya pada perhimpunan parti pembangkang di Petaling Jaya pada 14 Oktober lepas. – Sarawakvoice

Berkaitan