Bina masjid di Hospital Umum Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM6.5 juta untuk membina Masjid Al-Mushtasfa di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan bersetuju untuk membina masjid tersebut kerana mahu kakitangan dan pesakit di hospital berkenaan mempunyai ruang solat yang selesa.

Katanya, Pengarah HUS Dr. Ngian Hie Ung bersama-sama wakil kementerian datang berjumpa beliau untuk berbincang mengenai perkara tersebut dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Masjid Al Mushtasfa HUS Dr. Nik Azim Nik Abdullah mencadangkan untuk menaik taraf surau dengan anggaran kos RM6.5 juta.

“Alhamdulillah dengan pendapatan Sarawak yang semakin bertambah, saya kata okay.

Kita bangunkan masjid di hospital ini dengan peruntukan tersebut” katanya pada Majlis Makan Malam Juh Bejarah Raya 2023 HUS di Dewan Kompleks Islam, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, selain memastikan pesakit dapat menunaikan solat dengan selesa ia juga penting untuk menyediakan kemudahan yang lain, termasuk fardu kifayah.

“Ini kerana sekiranya ada masyarakat Islam yang meninggal dunia di HUS, kita juga mempunyai ruang yang selesa untuk pengurusan jenazah dalam kawasan hospital sendiri.

“Justeru, saya telah memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan memberi peruntukan sendiri untuk mendirikan masjid di HUS ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abang Johari memaklumkan Sarawak tidak meminggirkan agama lain dan beliau sendiri mengarahkan Unit hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) untuk menyediakan tempat ibadat di kawasan hospital.

“Jadi, menerusi UNIFOR ini kita juga telah memberikan RM600,000 untuk menaik taraf ruang ibadat bagi agama-agama lain di negeri ini. 

Peruntukan ini berbeza kerana mereka hanya mahu satu bilik atau ruang sahaja dan mencadangkan jumlah tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Abang Johari turut menyempurnakan penyerahan replika cek  daripada Kerajaan Sarawak sebagai tanda permulaan bagi pembinaan Masjid Al-Mushtasfa di HUS.

Nik Azim ketika berucap memaklumkan, selain itu mereka juga dalam proses mengumpul dana Tabung Kebajikan Perubatan untuk kebajikan pesakit-pesakit di hospital berkenaan.

Prihatin terhadap perkara itu, Abang Johari juga mengumumkan Kerajaan Sarawak menyumbangkan RM50,000 kepada tabung tersebut.

Pada masa yang sama, majlis itu juga menyaksikan Pengurus Bank Rakyat Kerjasama Berhad Matang Jaya dan Lundu Sharvina Sharbini menyampaikan replika cek sumbangan untuk tabung kebajikan kepada Hie Ung.

Isteri Abang Johari, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Hie Ung dan Nik Azim turut hadir.

Berkaitan