KUCHING: Kebanyakan kanak-kanak pada hari ini gemar meluangkan masa di media sosial dan meskipun rangkaian sosial mempunyai banyak kelebihan ia juga mempunyai pelbagai risiko.
Bagi memupuk kesedaran mengenai keselamatan siber dalam kalangan kanak-kanak, ibu bapa dijemput untuk menghadiri Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik 2023 pada 19 hingga 21 Mei ini.
Persidangan itu untuk menyediakan platform bagi peluang rangkaian dan akan menampilkan sesi bersama panel jemputan, acara satelit seperti Cabaran Tindak Balas Serangan Siber Asia Pasifik, Forum Kepimpinan, program kesedaran Keselamatan dan Perlindungan Dalam Talian Kanak-kanak dan bengkel amali.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Datuk Dr. Muhammad Abdullah Zidel berkata, persidangan menghimpunkan pemimpin industri dan pakar untuk berbincang dan bertukar pengetahuan tentang arah aliran keselamatan siber terkini, ancaman dan penyelesaiannya.
“Kami teruja kerana kami telah mencorakkan ia menjadi lebih inklusif bagi golongan profesional yang berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut perihal keselamatan.
“Kami juga mengajak ibu bapa untuk datang bagi mengetahui lebih lanjut mengenai perlindungan kanakkanak di Internet.
Jadi itu adalah gambaran besar untuk acara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Keselamatan Siber Asia Pasifik di Wisma Bapa Malaysia, kelmarin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sains Datuk Dr Anderson Tiong menegaskan keselamatan siber adalah sangat penting ekoran kuasa digital yang mengusai dunia pada masa ini.
Katanya, objektif persidangan itu adalah untuk menarik semua pakar keselamatan siber datang ke Sarawak supaya semua orang boleh belajar dan memanfaatkan bakat dan pengalaman mereka.
“Acara ini akan menjadi sangat menarik dengan penceramah dari Asia Pasifik berkongsi ilmu mereka.
“Jadi kami berharap orang ramai dan agensi dapat menggunakan peluang ini untuk belajar dan mendapatkan pendedahan kepada isu keselamatan siber,” katanya.